Thursday, 20 September 2012

ABAH

Abah.....,
Rindu telah lama bertapak untuk menyebut panggilan itu. Hampir 12 tahun aku tidak lagi dapat menyebut dan memanggil panggilan 'Abah'.  Kadang kadang rindu terlalu mencengkam. Rindu terlalu kuat. Hanya  FATIHAH yang dapat ku sedekahkan pada Abah. Aku sentiasa berdoa, semoga Abah di tempatkan di tempat insan2 yang dirahmati dan beriman. Insya Allah, amin.

Masa kecil, abah terlalu rajin melayan karenah kami adik beradik. Tidak kurang juga sering dimarahi Abah jika ada kesalahan yang kami lakukan. Semasa dulu, kalau kena marah sebab bermain hingga lewat senja, kena marah kerana tidak mahu belajar, kena marah sebab selalu buat mak penat, kena marah jika ponteng sekolah dan kena marah juga kerana rajin menimba ikan di parit besar bersama adik lelakiku yang kedua. Bila dimarah Abah, mulalah rasa sakit hati, jauh hati dan juga makan hati.  Di hati terbuku perasaan geram dan memberontak.  Alhamdulillah, perasaan itu tidak bercambah terlalu lama.  Sehari dua, akan hilang semua perasaan itu. Kasih sayang pada Abah dan mak tetap menebal dari hari ke hari.

Bila kita di usia begini, lantaran kita mengerti, mengapa Abah bersikap demikian. Marah Abah bersebab dan ada alasannya.  Memori bersama Abah semakin mengamit dan hati semakin dipagut kesayuan.  Pernah aku dikejut Abah seawal 2.00 atau 3.00 pagi untuk meneman Abah dan mak menjala belanak di pantai berdekatan. Yang peliknya, tidak pula terasa mengantuk saat itu, malah rasa seronok dapat bersama Abah dan mak, walau dalam keadaan dan waktu apa sekalipun.

Pernah juga aku dan adik lelaki ke dua ku, dipulau oleh kawan kawan sepermainan. Seronok masa kecil, bermain rumah pondok yang dibuat daripada pelepah daun kelapa dan berangka buloh. Abah merasa terlalu kasihan melihat keadaan aku adik beradik yang terpulau oleh kawan2. Sanggup pula Abah meracik buluh dan batang nibong untuk dijadikan lantai rumah pondok2 kami.  Yang seronoknya rumah pondok2 kami lebih cantik dan teguh dari rumah pondok2 kawan2 yang memulau kami.

Rasmi kanak2, bergaduh pun tidak lah lama. 2 ke 3 hari, baik semula. Malah, kawan2 yang memulau kami pada mulanya, sibuk pula bermain di rumah pondok2 kami. Riang kembali bertapak di wajah dan dihati. Abah mula terasa terhibur melihat anak2nya punya kawan semula....

Abah juga ada sebiji motor vespa warna biru laut. Abah sayang akan motor vespanya. Hari2 dijaga dan digilap. Abah rajin bawa aku dan adik jalan2 dengan vespa birunya. Aku Abah letak di belakang dan adik pula berdiri didepan sambil memegang kepok vespa didepan. Abah bawa aku dan adik pusing2 kampung, duduk berehat diperdu pokok ketapang di pantai berdekatan. Abah juga bawa aku dan adik ke kedai kopi kegemarannya. Abah belanja aku dan adik makan ais kepal yang harganya 10 sen. Seronok sangat2.

Abah selalu minta aku dan adik carikan uban di kepalanya. (Sekarang aku tahu, uban sebenarnya tidak boleh dicabut).  Bila aku mencabut uban Abah, abah akan upah 10 sen. Sukanya hati dapat 10 sen. Berlari ke kedai Babu..., beli jajan. Haha.

Bila aku menginjak dewasa, akhirnya aku dipinang jejaka idaman dan seterusnya melangkah ke alam rumah tangga. Insan yang paling bahagia adalah Abah. Begitu juga mak.  Pernah Abah mengusikku. Entah ada atau tidak orang yang sudi menyuntingku disebabkan kulitku yang gelap dan wajah yang tidak menarik. Alhamdulillah, takdir Allah tak siapa dapat menduga. Bertemu jodoh juga akhirnya...

Sebulan selepas mendirikan rumah tangga, aku berpindah dari rumah Abah. Kononnya, ingin berdikari dan hidup sendiri,  Insan yang paling sedih ialah Abah. Kesedihannya mengalahkan kesedihan mak yang hatinya lebih keras dan kental. Sehari aku meninggalkan rumah, sepi mula mengisi ruang. Walaupun ada 3 adik2 yang lain, tapi hati Abah tetap di pagut sayu. Bila hujung minggu tiba, aku dan suami akan bermalam di rumah mak dan kelihatannya Abah lah yang paling gembira. Sibuk membeli ikan dan lauk2 kegemaran yang lain. Sanggup ke kedai sekerap mana pun disuruh mak. 

Pada satu masa, mak ke Mekah menunaikan ibadah haji tanpa abah. (kesihatan Abah tidak mengizinkan untuk Abah pergi bersama sama mak masa tu.). Bila mak tiada, Abah guna kain batik yang mak pakai seharian untuk dibuat teman selimutnya. Abah cakap, dia rindu kat mak, padahal, mak baru sehari meninggalkan kami.  Abah juga minta aku masakkan mee hoon kuah tauchu yang selalu mak buat untuknya. Alhamdulillah, boleh juga aku sediakan untuk Abah walaupun tidak sesedap yang mak masak untuk Abah.

Beberapa tahun kemudian, Abah mendapat tahu yang dia menghidap penyakit kecing manis atau diabetes. Pada asalnya, kaki Abah terpijak paku karat di luar rumah.  Lama kelamaan, ianya membengkak dan bernanah. Abah terpaksa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran. Walaupun luka di tapak kaki Abah semakin lama semakin teruk, tapi luka Abah tidak menghasilkan bau. Cuma aku ngeri melihat keadaan lukanya yang perlu dikorek dan dibuang nanahnya dari hari ke hari.  Bila tiba suatu masa, keadaan luka di kaki Abah memaksa Abah perlu di hantar ke hospital besar untuk rawatan lanjut.

Di hospital, 2 jari kaki  Abah terpaksa dipotong untuk mengelakkan jangkitan. Kami terima berita dengan tabah dan Abah kami jaga dan jengok setiap hari. Aku sanggup mengambil cuti tanpa gaji, semata mata ingin menjaga Abah. Makan minum Abah dan kandungan gulanya memang aku jaga. Sewaktu menjaga Abah, aku mengandung anak ke empat. Kandunganku telah sarat dan hampir memasuki 9 bulan. Demi Abah, aku lupa kepayahan dan kesukaran mengandung. Dalam kotak fikiran dan dalam doaku setiap hari, aku hanya minta supaya Abah semboh kembali.

Hampir 2 minggu Abah di hospital, Abah dibenarkan pulang ke rumah. Abah juga nekad tidak mahu memotong sebahagian kakinya iaitu hingga keparas keting. Abah masih berharap untuk mendapatkan rawatan lain selain daripada rawatan moden. Abah ku bawa pulang ke rumah, tapi wajah Abah tidak ceria dan gembira. Abah tampak benar sugul dan sedih.  Walau bagaimana kami sayang kat Abah, sekuat mana cinta kasih kami kat Abah, seteguh mana setia dan cinta mak kat Abah, takdir ALLAH tidak siapa dapat menolaknya. Abah pergi juga meninggalkan kami sekeluarga pada tarikh 10hb November 2000. Walaupun telah 12 tahun Abah meninggalkan kami, ingatan, kasih sayang kami pada Abah tak pernah luntur. Sayang Abah selamanya. AL FATIHAH UNTUK ARWAH ABD RASIT BIN SAID. Abah tercinta

Friday, 14 September 2012

NASIB SI COMEL

Assalammualaikum.,
Hari ni, kita bercerita pasal kucing pula. Aku ada seekor kucing yang diberi nama Comel. Kucing ni, kucing betina. Selain dari si Comel, ada juga seekor kucing jantan yang diberi nama Mamat. Si Mamat lebih 'senior' dibandingkan dengan si Comel. Muka Comel memang cute dan itu sebab menjadikan si Comel glamour di kalangan kucing2 jantan dipersekitaran.

Kisah Mamat dan Comel sama jer. Dua2 ekor kucing tu, asalnya memang kucing jalanan. Terbiar tanpa tuan, dengan badan yang comot dan kelaparan. Pada mulanya, kedatangan Mamat memang tidak kami undang. Beberapa kali curi2 makan dan masuk ke rumah tanpa izin. Membuatkan jiwaku mendidih tetiba, tatkala melihat makanan yang bersepah diheret ke lantai.  Banyak kali juga ku acah dengan batang penyapu, walaupun ku tak pernah melibasnya. Dalam hati, masih ada sedikit simpati pada haiwan kesayangan ini.

Lama kelamaan, daripada benci, timbul pulak sayang pada si Mamat. Yang uniknya tentang Mamat, dia tidak pernah buang air besar atau kecil merata rata. Jika dia berada didalam rumah, akan ku pastikan pintu bilek air tidak berkunci dan lubang saliran air tidak ditutup kerana disitulah si Mamat melepaskan hajat.  Tak pernah pun Mamat membuang najis kecil dan besarnya diatas lantai bilek air jika lubang saliran air tertutup. Memang cute si Mamat.

Selang beberapa bulan yg lalu, datang pula si Comel. Kucing jalanan juga. Muka comot, kurus kering kelaparan. Sungguh kasihan aku melihat keadaannya. Si Comel selalu diganggu oleh 'pria2' jantan disekeliling. Mungkin kucing betina bilangannya sedikit dibandingkan dengan bilangan kucing jantan. Hahahahahaha

Seperti si Mamat, si Comel juga berkelakuan sama. Tak pernah menarik kemarahanku semenjak menjadi penghuni tetap di rumahku. Sikap ke dua dua ekor kucing inilah yang menjadikan kami sekeluarga jatuh kasih dan sayang padanya.

Ditakdirkan, si Comel telah berbadan dua. Walaupun Comel mula memboyot, tapi muka Comel, tetap comel jer...
Sejak si Comel mengandung, makan minum nya memang kami jaga. Makanan kedua dua ekor kucing ni, dari jenis yang berjenama dan bukannya jenis timbang. Punya lah sayang katakan....

Saat yang ditunggu tunggu telah tiba, bilamana si Comel tiba masa untuk melahirkan. Sejak pagi, si Comel mula gelisah dan ada tompokan2 darah di lantai bilamana si Comel bergerak dan berjalan kesana sini. Encik hubby, sibuk membuatkan tempat Comel melahirkan dengan sebuah kotak yang agak panjang dan dilapis dengan beberapa kain yang tebal dan bersih. Konon nya, nak beri Comel merasa selesa bila saat melahirkan tiba.

Tapi, kalau dah haiwan, memanglah macam haiwan. Comel tak betah duduk di dalam kotak yang encik Hubby panggil sebagai wad untuk si Comel. Mula lah dia menghidu sana dan sini untuk mencari ruang dan kawasan yang selesa.

Pada malam jumaat tarikh 7hb September 2012 yang lalu, si Comel selamat melahirkan tiga ekor anak2 yang memang comel2. Melihat kepada keadaan perut si Comel, kami sekeluarga berteka teki akan bilangan anak2nya. Ada yang kata empat ekor. Ada kata lima ekor. Tapi, semuanya salah. Comel melahirkan tiga ekor anak. Anak comel panjang panjang. Lebih dari sejengkal. 

Anak2 Comel ada tiga ekor yang berlainan warna. Hitam, kelabu dan kelabu berbelang seperti si Comel. Si Hitam sempat merasa susu ibunya sehari dan si Hitam telahpun mati. Si Comel tidak terasa kehilangan, kerana si Comel masih ada dua ekor anak2.

Kemudian, dua hari lepas, si Kelabu pula pergi meninggalkan kami. Pada mulanya tak perasan pun. Tetiba si Comel menggonggong anaknya dan di letakkan dihadapan kusyen rumahku. Comel seperti ingin memberitahu sesuatu. Badan anaknya di jilat beberapa kali dan si Comel menguis nguis badan anaknya. Seperti ku dengar Comel berkata... 'bangunlah...bangunlah..., jangan tinggalkan emak..'. Senario itu benar benar mengundang kesedihan di hati kami sekeluarga.

Yang mati, tetap mati. Kami kebumikan anak Comel, si Kelabu dibawah pokok berhampiran rumah. Tinggallah si Comel dengan si Belang. Tapi, yang sedihnya, si Belang pun telah menyusul adik beradiknya yang lain. Si Belang telah mati sehari lepas. Kami tidak menunggu Comel untuk kebumikan anaknya kerana Comel pergi berjogging agaknya untuk menguruskan badannya yang masih geleber dan masih gemok itu...

Si Comel pulang dengan berlenggang mak limah dan terus ke tempat anaknya. Tetiba Comel mengiau dengan kuat dan mencakar cakar lantai apabila tidak berjumpa anaknya. Comel mengiau ngiau sambil memandang wajahku. Mungkin ingin bertanya, mana perginya si Belang. Leher Comel ku urut dan ku beritahu tentang anaknya, walaupun haiwan itu sebenarnya tidak mengerti.

Comel berlari laju ke luar. Menjengah kotak wad nya. Sayangnya, dia tidak berjumpa dengan si Belang. Tiba-tiba, Comel tersedu sedu dan beberapa kali terbersin. Aku sungguh terkejut melihat keadaan itu. Sehingga sekarang, keadaan Comel sesekali meroyan. Mencari anaknya ke sana sini dan berulang alik dari bilek stor rumah kami dan keluar lagi. Masuk semula, memanjangkan lehernya dan sesekali mengiau sayu. Kesian Comel. Kau keseorangan semula kerana zuriatmu telah tiada........, 


Thursday, 13 September 2012

ADUHAI HATI..

Assalammualaikum.
Lama sudah tidak menulis disebabkan kesibukan kerja seharian. Namun hari ini, ku cuba jua untuk menulis walaupun diriku dibelenggu oleh kekaburan idea dan otak yang letih kerana kerja disebelah siangnya.

Sedang aku termanggu, terkenang pula kejadian siang tadi di pejabat. Namun, kita kena terima setiap kejadian itu dengan semangat yang kuat. Niat kita mestilah satu. Bekerja kerana Allah. Bekerja dengan niat yang ikhlas dan bersedia menghadapi rintangan dan cabaran.

Berkerja sebagai pengurus kewangan di sebuah syarikat pembinaan yang kecil, adalah lebih sukar bagiku.  Keadaan kewangan syarikat yang masih belum stabil dan hutang yang bertimbun, adalah cabaran yang hebat.  Alhamdulillah, walaupun berat dan sukar, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sejak hadirnya aku disini, aku berjaya mengurangkan jumlah hutang syarikat dengan membuat penstrukturan semula.

Aku bersedia dimaki, dimarah dan ditengking herdik oleh manusia manusia yang tidak pernah ada kesabaran dihatinya. Tidak ada sikap lemah lembut di lidahnya dan tidak ada rasa sahabat dijiwanya.  Semuanya ku telan dan ada kalanya ku tepis juga dengan sepotong dua ayat yang tegas. Jangan biarkan sikap separuh daripada separuh mereka, menganggu dan mengoyangkan ketegasan yang cuba kita bina dan pertahankan sekian lama.

Bagi kamu, orang orang kaya di luar sana, walaupun syarikat tempatku bekerja mempunyai hutang dengan syarikat tuan dan puan besar, tapi kami tidak melepaskan terus dan menghilangkan hutang tersebut . Setiap bulan, kami berusaha untuk menjelaskan hutang hutang yang tertunggak dan sebenarnya ianya berkurang dari bulan ke bulan.

Wahai tuan puan yang perasan kaya tu. Ingatlah, ini semua adalah harta dunia dan pinjaman semata mata. Janganlah terlalu ego dan sombong sehingga menetapkan yang seseorang itu hanya layak di maki atau dicaci. Aku tidak mengharapkan untuk kamu menerima balasan dalam sekelip mata, tapi harta dunia, sekejap sahaja Allah boleh tarik semula dari kamu. Allah Hu Akbar. Pedihnya makian kamu siang tadi, masih terasa hingga kini.  Tidak pernah kah kamu terfikir, sedang kamu berjalan jalan atau memandu dengan kereta mewah kamu, tiba tiba Allah boleh turunkan bala dan kebahagiaan akan direntap juga dengan sekelip mata???? Rasa bahagia dan kekayaan yang kau ada tetiba hilang dan pudar..,

Aduhai hati yang rapuh ini. Walaupun terasa pedih dan pilu menerima penghinaan, kuatlah. Tabahlah...., kau terimalah ini sebagai amanah dari majikan untuk kebaikan semua. Semoga hatiku  bertambah kuat dan bertambah tabah..., wahai hati Rashidah..., kuatlah!!!!!!